Sejujurnya, saya melihat Malaysia Teacher Prize (MTP) ni sebagai sebuah anugerah yang berprestij, satu pengiktirafan tertinggi buat guru di Malaysia. Pada saya, guru yang dinobatkan sebagai pemenang MTP adalah guru terbaik negara pada tahun itu. Dan itu adalah penanda aras yang saya sendiri letakkan. Disebabkan itu juga, sejak awal lagi, saya tak pernah meletakkan harapan terlalu besar kerana merasakan terlalu banyak kekurangan pada diri ini. Tambah lagi bila mendengar cerita, sumbangan, pencapaian dan aura pemenang-pemenang yang lepas membuatkan saya rasa diri saya terlalu kecil dan impian untuk menjadi pemenang tu sesuatu yang terlalu besar, hampir mustahil untuk dicapai.
Tapi, satu perkara yang sentiasa saya pegang:
Jika saya berhenti mencuba hanya kerana merasa diri tak layak, maka takkan ada lagi ruang rezeki MTP ni buat saya.
Dan mindset kecik ni, walaupun simple je telah membuka banyak pintu dan kejayaan dalam hidup saya. Setiap kali saya ragu-ragu dengan diri, saya ingatkan diri saya, “Cuba dulu. Layak atau tak, itu belakang cerita. Yang penting cuba.”
2022–2023: Mula Melangkah Walaupun Penuh Rasa Ragu-ragu
Saya mula menghantar pencalonan MTP sejak edisi pertama pada tahun 2022. Saya menulis esei seperti mana guru-guru lain juga: tulis jawapan mengikut naratif pengalaman dan sumbangan sendiri, kumpul bukti, dan hantar. Pernah saya terfikir, hanya yang pandai mengarang cerita dengan naratif terbaik, penuh emosi saja yang akan layak ke peringkat akhir. Tapi, lepas dah berada dalam senarai Top 10, saya mula ragu-ragu dengan persepsi ni kerana seingat saya, penyampaian cerita saya untuk melayakkan saya ke top 10 biasa-biasa je.
Mengenangkan semula, pada tahun 2023 saya tak menghantar pencalonan disebabkan saya terlepas tarikh penghantaran kerana terlalu sibuk. Masa tu saya cuma fikir, mungkin belum rezeki saya. So, tak per lah, cuba lagi tahun depan.
2024: Hampir… tetapi Belum Rezeki
Tahun 2024 saya cuba lagi. Ni lah kali pertama saya berjaya ke peringkat kedua. Tetapi saya tak berjaya ke peringkat seterusnya.
Walaupun agak kecewa, tapi pada saya tu bukan penamat. Saya bersyukur, kerana dari situ saya sedar bahawa setiap percubaan ni adalah latihan yang mungkin untuk rezeki yang lebih besar.
2025: Mencuba Lagi, Dengan Kisah yang Sama
Masuk tahun 2025, saya cuba lagi. Cerita masih sama, cuma saya tambah baik dengan inisiatif terkini untuk murid-murid dan komuniti OKU. Tanpa fikir panjang, saya terus hantar pencalonan.
Hinggalah pada 11 Julai, saya terima emel:
Saya berjaya ke peringkat kedua.
Permohonan seterusnya perlu dihantar sebelum 27 Julai.
Sejujurnya, saya hampir terlepas lagi kerana terlalu banyak urusan lain. Namun Allah mudahkan, saya berjaya menghantar permohonan lengkap pada 27 Julai, saat akhir jugak la...
3 September – Naik Satu Lagi Tangga
Pada 3 September, satu lagi emel masuk:
Saya disenarai pendek ke peringkat seterusnya dan perlu menjalani sesi temuduga online selama 30 minit pada 13 September.
Disebabkan hari tu saya ada kenduri kahwin sepupu, saya pilih slot paling awal iaitu 9.30 pagi. Ada tiga panel serentak, dan saya diadili oleh:
- Samuel Isaiah (Cofounder dan Director Pemimpin)
- Dr. Mariah Binti Ibrahim (Mantan Timbalan Pengarah IPG Kampus Tuanku Bainun Pulau Pinang)
- En. Lim Beng Choon (ECMLibra Foundation)
Masa tu saya sangat gugup. Banyak benda saya nak ceritakan tapi tak terluah. Ada jugak la point penting yang tiba-tiba lost terus disebabkan anxiety yang terlalu tinggi.
Sebaik selesai sesi temuduga, saya fikir:
“Tak per lah. Rezeki bukan kat sini. Tahun depan cuba lagi.”
Saya tutup laptop, saya redha. Baru teringat, gambar moment ditemuduga pun terlupa nak ambil.
28 September – Detik yang Saya Tak Sangka
Pada pagi 28 September, saya buka emel macam biasa. Tanpa jangkaan apa-apa. Tapi di peti masuk saya, ada satu emel dari En. Tien Sing.
Saya klik.
Saya baca perlahan.
Kemudian saya baca sekali lagi.
Ayat yang sama muncul depan mata saya. Saya minta anak saya pulak bacakan.
“Tahniah, atas pemilihan sebagai finalis 10 Teratas Malaysia Teacher Prize 2025.”
Saya terdiam.
Saya ulang baca ayat tu berkali-kali.
Saya pegang kepala, tarik nafas panjang.
“Ya Allah… betul ke ni?”
Air mata saya jatuh tanpa sedar. Bukan kerana bangga tapi kerana terharu sangat, sungguh saya tak sangka.
Saya yang selalu rasa diri tak cukup.
Saya yang selalu rasa banyak kelemahan.
Saya yang pernah fikir, “Tak per, tahun depan cuba lagi.”
Hari tu, saya belajar satu perkara yang bermakna buat saya:
Kadang-kadang, kita dah pun berada sangat dekat dengan pintu kejayaan… walaupun kita sendiri rasa sebaliknya.
Allah atur cantik, lebih cantik daripada apa yang saya pernah rancang.
Detik 28 September itulah yang menjadi bukti kepada diri saya sendiri bahawa kadang-kadang, apa yang kita rasa tak layak… sebenarnya sedang menunggu kita di hujung usaha.










0 Comments