Perjalanan Malaysia Teacher Prize (Final Part): Detik Kemenangan

Detik Kemenangan di Malaysia Teacher Prize 2025

Ada detik dalam hidup yang membuat kita benar-benar rasa dihargai. Kali ini, ia bukan sekadar anugerah tapi satu majlis meraikan peranan seorang pendidik yang mungkin selama ini dianggap biasa, tetapi sebenarnya luar biasa. Itulah pengalaman saya di Malaysia Teacher Prize (MTP) 2025 yang diumumkan pada 9 November semasa Sidang Kemuncak MTP 2025. Pastinya menjadi detik bersejarah dalam hidup ni.

MTP bukan sekadar anugerah biasa. Ia diraikan dengan gah dan gilang-gemilang, yang membuatkan saya rasa, inilah bezanya MTP dengan anugerah-anugerah guru lain yang pernah saya saksikan atau alami sendiri. Di sini, finalist dilayan dan dirai ibarat VVIP dan guru-guru yang hadir di sidang kemuncak diraikan sebagai pemimpin dan pembentuk masa depan.




Berpakaian All-Out: Songket Hitam & Sulaman Emas

Lepas selesai majlis, ada yang tanya, 'Dah tahu ke nak menang?' sebab pakai all out ni. Dah tentu la saya tak tahu akan menang. Team Pemimpin selaku penganjur ni pandai betul merahsiakan hingga kami tak dapat pun nak berteka-teka siap pemenang. Sebenarnya, saya tak pernah lagi pakai macam ni di majlis lain. Cuma kali ni memandangkan majlis ni sangat bersejarah bagi saya (tak kisah lah pemenang utama atau tak), saya nak all out habis. Saya memilih untuk berpakaian songket hitam dengan sulaman emas, lengkap dengan aksesori. Pada saya, bukan mudah nak sampai ke tahap ni dan ni bukan sekadar majlis biasa, ini pengalaman sekali seumur hidup yang patut dirasai dan enjoy sepenuhnya.





Tergamam – Pengumuman Top 5 Finalist

Ketika nama saya diumumkan sebagai Top 5 Finalist, dan video perjalanan saya ditayangkan, saya tergaman. Memang tak terkata. Sungguh tak sangka diri ni akan tersenarai. Syukur.

Antara Top 5 finalist lain ialah:

  • Cikgu Yew Ko Woo 
  • Cikgu Zulazri Bin Yusof  
  • Cikgu Rosmawati Binti Hussin  
  • Cikgu Muhammad Suffi Bin Yusof  

Berdiri di pentas sebagai salah seorang finalis Top 10 itu sendiri pun dah dikira satu penghormatan besar, apatah lagi Top 5. 



Apapun, tahniah kepada semua Top 10 Finalist Malaysia Teacher Prize. Sesungguhnya kita semua adalah pemenang dan untuk sampai ke peringkat ini bukanlah suatu yang mudah.



Berdiri Sebaris Pemimpin Pendidikan & Tetamu VIP

Selepas pengumuman dan penyampaian hadiah kepada semua finalis, kami berdiri sebaris bersama tokoh-tokoh hebat dalam bidang pendidikan:

  • Tuan Zainal Abas – Education Deputy Director-General (Education Operation Sector), Kementerian Pendidikan Malaysia.  
  • En. Samuel Isaiah – Executive Director & Co-Founder, PEMIMPIN Global School Leaders (GSL), yang membawa MTP ke tahap yang luar biasa untuk guru-guru di Malaysia.  
  • Dato’ Kathleen Chew – Programme Director, YTL Foundation (antara penyokong utama MTP).  
  • Pn Siti Kamariah Ahmad Subki – Managing Director & Trustee, Yayasan Hasanah.  
  • En Lim Beng Choon – Trustee, ECM Libra Foundation.  

Saya berdiri bersama finalist lain di pentas, berdebar menanti saat diumumkan pemenang. Kami tak tahu pun yang keputusan akan diumumkan oleh YB Fadhlina Sidek melalui tayangan video. Jadi, agak terpinga-pinga bila dilayar skrin sekali lagi terpampang video YB Fadhlina Sidek. Sebenarnya, majlis ini dirancang untuk disempurnakan oleh YB Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan Malaysia secara langsung di sini tetapi beliau tak dapat hadir atas komitmen lain dan diwakili oleh Tuan Zainal Abas.


Detik Nama Disebut!

Tatkala video YB Fadhlina Sidek ditayangkan, semua mata tertumpu pada video, menunggu saat beliau membuka sampul dan mengeluarkan kertas yang tertulis nama pemenang… Ya Allah, terkejutnya saya bila nama saya yang dibacakan!

Gamat satu dewan. Suara jeritan suami dan anak-anak saya lah yang paling kuat time tu.

Alhamdulillah, syukur Ya Allah. Tu je yang mampu terucap masa tu. Segala macam rasa ada. Nak nangis tapi risau bercepuk pulak make up.

Video Pengumuman Kemenangan dan Penyampaian Anugerah Malaysia Teacher Prize 2025


Ucapan kemenangan


Ketika emcee menjemput saya untuk memberikan ucapan kemenangan, saya sebenarnya tak cukup yakin dan tak cukup bersedia nak berucap di hadapan ramai atas pentas yang gah tu. Mana tak nya, saya tak jangka pun yang saya akan menang, walaupun ada la rakan-rakan guru yang mengusik-usik ucapkan tahniah lebih awal sebelum tu. Pada saya, maybe sebab mereka tak tahu kehebatan finalist lain lagi. 

Dalam ucapan penghargaan, saya agak terkilan dan diselubungi rasa bersalah yang teramat sebenarnya kerana agak 'blur' time tu hingga nama-nama penting yang patut disebut, tak tersebut dalam ucapan penghargaan. Sampai nama penganjur (Pemimpin) dan penyumbang pun tak disebut. Yang keluar semua nama yang biasa disebut apabila menulis ucapan penghargaan tatkala terima anugerah lain. Rasa bersalah ni terbawa-bawa sampai ke hari ni.  




Nasib baik la bagi ucapan kemenangan, kami dah diberikan latihan untuk menulis ucapan kemenangan semasa sesi bengkel CPD oleh team Pemimpin. Walaupun saya tak sempat nak tambah baik teks ucapan tu, tapi dah tak ada pilihan lain selain menbacakan saja teks yang dah ditulis. Apa yang pasti, kandungan teks itu adalah naratif dari kisah pengalaman sendiri dan semuanya lahir dari hati.

Dalam ucapan kemenangan, satu nama yang saya sebut ialah Nabil Iman, seorang murid mild autism yang saya ajar dalam program pendidikan inklusif. Suatu ketika dulu beliau pernah menjentik hati ini melalui soalan yang tak pernah dijangka dan ia membuatkan saya memilih untuk berubah arah sebagai guru biologi ke dunia pendidikan khas pada tahun 2016. Matlamat saya jelas - untuk memperjuangkan hak, maruah dan peluang anak-anak seperti Nabil Iman dan saya pasti semuanya pasti dapat dicapai bersama rakan-rakan pendidik lain yang menaruh kepercayaan yang sama bahawa setiap anak layak dilihat dan diberi ruang.


Soalan yang menjentik hati dan ibarat satu tamparan bagi seorang guru yang ketika itu sentiasa mengejar KPI mencapai peratusan lulus dan bilangan A yang tinggi:


Cikgu, saya dah cuba cari kerja, saya cuba sambung belajar… tapi semua tolak. Adakah sebab saya OKU?”


Nabil Iman merupakan murid autistik yang rajin berusaha, mengambil SPM untuk memastikan masa depan yang lebih cerah tetapi walaupun lulus dan memiliki SPM, peluang tetap tertutup bagi beliau. 



Hadiah besar, tetapi tanggungjawabnya lebih besar. 

RM50,000.

Biasiswa pascasiswazah dari INTI University & College

Dan sebuah trofi gasing yang unik dan cantik.


Pada saya semua ni bukan sekadar hadiah tapi satu amanah yang diberikan, untuk saya terus membawa suara anak-anak yang diperjuangkan ke ruang yang lebih luas. InsyaAllah.




Terima kasih


Jika hari tu saya gagal menyebut semua yang sepatutnya, izinkan saya menulisnya di sini.

Terima kasih kepada

En. Samuel Isaiah, Pn. Cheryl Fernando, En. Tay Tien Seng, Cik Syahmina dan seluruh pasukan Pemimpin GSL, 

yang mengangkat MTP menjadi sesuatu yang benar-benar bermakna untuk guru.



Terima kasih kepada

YTL Foundation, Yayasan Hasanah, ECM Libra Foundation, Yayasan PETRONAS, Varkey Foundation dan INTI University & Colleges,

yang memilih untuk menyokong pendidikan melalui kepercayaan kepada guru.


Terima kasih kepada setiap insan yang menjadi sebahagian daripada perjalanan ini. 







Jika ada yang membaca dan merasa perjalanan ini menginspirasikan anda, ingatlah, setiap daripada kita mempunyai cerita yang berharga, dan setiap anak murid kita adalah sebab untuk kita terus melangkah. Perlahankan langkah jika penat, namun jangan sesekali berhenti kerana masih ramai jiwa yang terus berharap dalam setiap langkah yang kita susun . 🌟


Cikgu Ainul

Pemenang Malaysia Teacher Prize 2025


Post a Comment

0 Comments