Perjalanan Malaysia Teacher Prize (Part 2): Top 10 Finalist — Temuduga Akhir, Belajar, Berkongsi & Menemukan Semula Diri

 



1 Oktober – Pertemuan Pertama 10 Finalis


Pada 1 Oktober, bermula sesi pertemuan rasmi para finalis Malaysia Teacher Prize 2025 secara dalam talian. Di sinilah saya akhirnya dapat melihat wajah-wajah pendidik hebat negara yang terpilih sebagai Top 10.


Sebahagian daripada mereka saya sudah lama kenal melalui ceramah, artikel, dan kerja-kerja inspirasi yang mereka jalankan. Sebahagian lagi adalah wajah baharu yang kali pertama saya bersua. Walaupun baru bertemu, saya sudah dapat merasakan aura besar perjalanan pendidikan yang mereka bawa.


Antara finalis adalah:


  • Cikgu Zizi’Azniza Mohd, SMK Pelong
  • Cikgu Rosmawati Hussin, Guru Besar SK Cheneh Baru
  • Cikgu Muhammad Suffi Yusof, SK Pangkalan TLDM
  • Cikgu Viknesvari Letchumanan, SMPK Vokasional Indahpura
  • Cikgu Ching Yun Ming, SJK(C) Chee Tong
  • Cikgu Isabelle Wong Minh Chjiat, SMK Dato Jaafar
  • Cikgu Zulazri Yusof, SMK Sultanah Asma
  • Cikgu Yew Ko Woo, SMK Methodist Sibu
  • Cikgu Dhiya Safina Mohd Bazir, SK Oran


Sesi pertama dimulakan dengan memperkenalkan diri masing-masing secara ringkas. Walaupun ringkas, saya dapat mendengar kisah-kisah yang hebat. Kisah yang meyakinkan saya bahawa saya dikelilingi oleh barisan guru yang luar biasa.


Taklimat ringkas kemudian disampaikan oleh En. Tien Sing dan Cik Syahmina dari Pemimpin GSL selaku penganjur Malaysia Teacher Prize. Mereka menerangkan persiapan yang perlu kami lakukan menjelang sesi temuduga akhir secara bersemuka dan Sidang Kemuncak MTP 2025.

Ya, masih ada satu lagi temuduga terakhir—kali ini secara bersemuka untuk memilih pemenang dan top 5. 

Debarannya sudah mula terasa sejak hari pertama.

Kami juga dimaklumkan bahawa akan ada tiga slot CPD (Continuous Professional Development) pada 14, 16 dan 22 Oktober.



14 Oktober – Story of Self, Us and Now bersama Samuel Isaiah



Slot pertama kami adalah bersama Samuel Isaiah, Executive Director Pemimpin yang merupakan antara figura pendidikan yang sangat saya hormati. Slot ini fokus kepada “Story of Self, Us and Now”—bagaimana untuk membina naratif diri yang kuat, jujur dan menyentuh hati.


Di permukaan, ia seperti latihan menulis teks ucapan pemenang.

Tetapi pada dasarnya memberi makna yang lebih mendalam.


Dalam sesi ini, kami diajak kembali ke akar:

Siapa diri kita sebagai guru? Mengapa kita memilih jalan ini? Apa yang membentuk cara kita mengajar? Siapa yang kita perjuangkan?


Saya seperti membuka album lama dalam hidup saya.

Setiap kisah yang selama ini saya simpan kemas—kisah susah, kisah pencarian, kisah murid-murid saya—muncul semula dan menyuntik semangat baru.


Sesi ini benar-benar membantu saya menyusun suara hati saya.

Bukan untuk ucapan kemenangan semata-mata,

tetapi untuk saya sendiri.

Untuk mengingatkan saya kenapa saya bermula.


Terima kasih Sam. Input itu sangat bernilai.


16 Oktober – Penggunaan Media Sosial bersama Cikgu Firdauz





Slot kedua dikendalikan oleh Cikgu Ahmad Firdauz, seorang mantan guru besar yang kini merupakan Ketua Program Harian Pusat Permata Kurnia, yang sudah lama saya kagumi. Beliau mempunyai gaya kepimpinan yang sangat menarik—rendah diri, berjiwa besar, dan suka berkongsi.


Saya ikuti penulisan beliau di Facebook sejak dulu.

Walaupun tulisannya panjang, saya selalu baca sampai habis. Begitu kuat dampaknya.


Jadi bila diberi peluang menuntut ilmu secara langsung daripada beliau, saya rasa sangat beruntung.


Dalam sesi itu kami belajar bagaimana media sosial boleh menjadi platform pendidikan yang berkesan, tanpa perlu menjadi “popular”—cukup sekadar konsisten, jujur dan memberi nilai.



22 Oktober – Media Training bersama En. Tien Sing dan Cik Syahmina




Dalam slot ketiga, kami dibahagikan kepada dua kumpulan untuk sesi “Media Training”. Di sini kami belajar bagaimana untuk menjawab soalan media dengan jelas, tenang dan beretika.

Sesi ini membuka mata saya betapa pentingnya seorang guru berkomunikasi secara profesional, terutama bila membawa suara anak-anak dan komuniti yang diwakili.


3–4 November – Bersedia untuk Temuduga Akhir


Kami diminta untuk check-in di Royal Chulan Damansara pada 3 November. Tetapi kerana saya tinggal sekitar KL, saya memohon untuk check-in pada 4 November, selepas sesi penjurian.


Temuduga akhir dibahagikan kepada dua sesi:

5 finalis sesi pagi, 5 finalis sesi petang.


Saya dijadualkan pada 10.30 pagi.


Sambil menunggu giliran, semakin laju degupan jantung. Perasaan ketika ni… hanya Allah yang tahu.

Saya cuma harap sesi temuduga ni cepat habis.

Panel juri kali ini terdiri daripada tokoh-tokoh besar:


  • Dr. Ahmad Rafee Che Kassim (Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah)
  • Dr. Rusmini Ku Ahmad (Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Dasar dan kurikulum)
  • Pn Kamariah Mohd Noor (Wakil Kanan Yayasan Hasanah)
  • Pn Nelly Nizal Mohd Nadzri (Pengurus Besar (Education) Yayasan PETRONAS
  • Dato’ Kathleen Chew (Program Director YTL Foundation)
  • Samuel Isaiah (Co-founder Malaysia Teacher Prize)


Sesi temuduga tak seperti yang dijangka. Sangat santai. Panel juri pun mesra dan suasana pun tenang je, tak buatkan kami bertambah stress. Tetapi anxiety saya tetap ada. Bila saya gugup, saya mula la nak bercakap non-stop — dan itulah yang terjadi.😅


Soalan pertama oleh Samuel:

“Ceritakan secara ringkas tentang cikgu.”

…tetapi saya terus bercerita panjang lebar tanpa henti.


Soalan-soalan lain menyusul:

  • Bagaimana memastikan projek saya sustainable walaupun tanpa saya?
  • Bagaimana saya mengurus PdP walaupun terlibat banyak perkara luar?
  • Impak PEKA OKU — berapa ramai yang mendapat peluang pekerjaan dan pendidikan?
  • Dan soalan akhir daripada Dato’ Kathleen:
    “Jika diberi peluang untuk menambah baik dasar pendidikan, apa yang cikgu ingin perbaiki?”


Soalan terakhir itu yang membuatkan mata saya bergenang.

Saya bercerita tentang nasib MBPK yang sukar diterima ke institusi tertentu kerana syarat-syarat yang tidak mesra inklusif. Ada yang melatakkan syarat dengan pengecualian OKU untuk memohon.


Walau bagaimanapun, Dr. Rusmini menjelaskan bahawa syarat tu bukan dasar Kementerian Pengajian Tinggi, tetapi keputusan institusi tertentu — dan ia sebenarnya bercanggah dengan dasar TVET.


Maka tamat lah sesi temuduga saya pada hari tu...


Dan untuk pertama kali, saya rasa benar-benar puas.

Masa tu saya fikir kalau tak terpilih Top 5 sekalipun, saya dah ok.

Sebab saya dah sampaikan suara murid-murid saya.

Suara yang sering terpinggir.

Suara yang perlu didengarkan.




5 November – Sesi Penggambaran


Esoknya, kami kembali berkumpul di Royal Chulan Damansara untuk sesi penggambaran. Setelah berminggu-minggu penuh debaran dan persediaan,  akhirnya dah  menarik nafas kejap.


Walaupun hakikatnya masih perlu kerja keras untuk jayakan “Best Classroom” di Sidang Kemuncak nanti, hati saya rasa sikit lapang.



6 & 7 Oktober – Bengkel Ucapan, Identity, Improve & Scale, dan Community Mobilisation


Pagi 6 Oktober, kami semua berkumpul untuk menambah baik teks ucapan pemenang. Sesi yang dikendalikan oleh Samuel Isaiah, Top 10 Global Teacher Prize, merupakan pengalaman yang sangat membuka mata. Beliau membimbing kami dengan begitu teliti, membantu kami mencari suara sebenar dalam ucapan kami. Ketika mendengar ucapan rakan-rakan finalis, saya diam-diam berasa sangat kerdil… tetapi dalam masa yang sama sangat beruntung dapat berada dalam kelompok ini.


Di hati saya terdetik:


“Pastinya ramai lagi guru luar biasa di luar sana yang lebih hebat, lebih banyak berkorban, lebih jauh usaha mereka daripada kami yang terpilih ini.”


Kami semua cuma mewakili ribuan guru yang setiap hari bekerja dalam senyap tanpa pujian.




Pada 7 Oktober, kami mengikuti Bengkel Identity, Improve and Scale Innovations bersama En. Yu Shen. Modul ini benar-benar membantu saya melihat semula projek-projek yang saya jalankan — bukan hanya dari segi keberkesanan tetapi dari sudut bagaimana untuk diperluaskan, diperkemaskan, dan dipertingkatkan dengan strategi yang lebih profesional.




Petangnya pula, kami mengikuti Bengkel Community Mobilisation — sesi yang mengajar bagaimana untuk menyediakan proposal projek, mencari peluang geran, serta melakukan pitching dengan lebih meyakinkan. Antara bahagian paling saya ingat ialah sesi yang dikendalikan oleh Cikgu Anuthra, pemenang MTP 2022. Cara beliau bercakap, menyusun isi, dan menghuraikan konsep begitu jelas dan tersusun sehingga kami semua terpaku mendengar.



Saya belajar banyak… sangat banyak.


Dan kali pertama sejak mula proses MTP ini, saya rasa:


“Ya Allah… betul ke aku patut berada di sini?”


Petang itu, kami semua mula membuat persiapan untuk raptai Sidang Kemuncak. Suasana mula terasa lain — debaran semakin kuat, fikiran mula memikirkan segala kemungkinan, dan hati saya hanya mampu berdoa agar semuanya dipermudahkan.


Perjalanan ini telah membawa saya begitu jauh… dan saya tahu masih ada bab penting yang bakal tertulis selepas ini.




Post a Comment

0 Comments