1 Oktober – Pertemuan Pertama 10 Finalis
Pada 1 Oktober, bermula sesi pertemuan rasmi para finalis Malaysia Teacher Prize 2025 secara dalam talian. Di sinilah saya akhirnya dapat melihat wajah-wajah pendidik hebat negara yang terpilih sebagai Top 10.
Sebahagian daripada mereka saya sudah lama kenal melalui ceramah, artikel, dan kerja-kerja inspirasi yang mereka jalankan. Sebahagian lagi adalah wajah baharu yang kali pertama saya bersua. Walaupun baru bertemu, saya dah dapat merasakan aura besar perjalanan pendidikan yang mereka bawa.
Antara finalis adalah:
- Cikgu Zizi’Azniza Mohd, SMK Pelong
- Cikgu Rosmawati Hussin, Guru Besar SK Cheneh Baru
- Cikgu Muhammad Suffi Yusof, SK Pangkalan TLDM
- Cikgu Viknesvari Letchumanan, SMPK Vokasional Indahpura
- Cikgu Ching Yun Ming, SJK(C) Chee Tong
- Cikgu Isabelle Wong Minh Chjiat, SMK Dato Jaafar
- Cikgu Zulazri Yusof, SMK Sultanah Asma
- Cikgu Yew Ko Woo, SMK Methodist Sibu
- Cikgu Dhiya Safina Mohd Bazir, SK Oran
Sesi pertama dimulakan dengan memperkenalkan diri masing-masing secara ringkas. Walaupun ringkas, saya dapat mendengar kisah-kisah yang hebat. Kisah yang meyakinkan saya bahawa saya dikelilingi oleh barisan guru yang luar biasa.
Taklimat ringkas kemudian disampaikan oleh En. Tien Sing dan Cik Syahmina dari Pemimpin GSL selaku penganjur Malaysia Teacher Prize. Mereka menerangkan persiapan yang perlu kami lakukan menjelang sesi temuduga akhir secara bersemuka dan Sidang Kemuncak MTP 2025.
Ya, masih ada satu lagi temuduga terakhir—kali ini secara bersemuka untuk memilih pemenang dan top 5.
Debarannya dah mula terasa sejak hari pertama.
Kami juga dimaklumkan bahawa akan ada tiga slot CPD (Continuous Professional Development) pada 14, 16 dan 22 Oktober.
14 Oktober – Story of Self, Us and Now bersama Samuel Isaiah
Slot pertama kami adalah bersama Samuel Isaiah, Executive Director Pemimpin yang merupakan antara figura pendidikan yang sangat saya hormati. Slot ini fokus kepada “Story of Self, Us and Now”bagaimana untuk membina naratif diri yang kuat, jujur dan menyentuh hati.
Di permukaan, ia seperti latihan menulis teks ucapan pemenang. Tetapi pada dasarnya memberi makna yang lebih mendalam.
Dalam sesi ini, kami diajak kembali ke akar:
Siapa diri kita sebagai guru? Mengapa kita memilih jalan ini? Apa yang membentuk cara kita mengajar? Siapa yang kita perjuangkan?
Saya seperti membuka album lama dalam hidup saya.
Setiap kisah yang selama ini saya simpan kemas kisah susah, kisah pencarian, kisah murid-murid saya, semuanya muncul semula dan menyuntik semangat baru.
Sesi ini betul-betul membantu saya menyusun naratif dari suara hati.
Bukan untuk ucapan kemenangan semata-mata, tetapi untuk diri sendiri.
Untuk mengingatkan saya kenapa saya bermula.
Terima kasih Sam. Input yang sangat bernilai.
16 Oktober – Penggunaan Media Sosial bersama Cikgu Firdauz
Slot kedua dikendalikan oleh Cikgu Firdauz, seorang mantan guru besar yang kini merupakan Ketua Program Harian Pusat Permata Kurnia, yang dah lama saya kagumi. Beliau mempunyai gaya kepimpinan yang menarik, rendah diri, berjiwa besar, dan suka berkongsi.
Saya ikuti penulisan beliau di Facebook sejak dulu lagi.
Walaupun penulisan beliau kadang-kadang panjang, tapi saya selalu baca sampai habis sebab tak pernahnya tak best. Mesti ada je cerita menarik yang nak dikongsi.
Jadi bila diberi peluang menuntut ilmu secara langsung daripada beliau, saya rasa bertuah sungguh kami.
Dalam sesi tu kami belajar bagaimana media sosial boleh menjadi platform pendidikan yang berkesan, tanpa perlu menjadi popular pun. Cukup sekadar konsisten, jujur dan memberi nilai.
22 Oktober – Media Training bersama En. Tien Sing dan Cik Syahmina
Dalam slot ketiga, kami dibahagikan kepada dua kumpulan untuk sesi “Media Training”. Di sini kami belajar bagaimana untuk menjawab soalan media dengan jelas, tenang dan beretika.
Sesi kali ni membuka mata saya betapa pentingnya seorang guru berkomunikasi secara profesional, terutama bila membawa suara anak-anak dan komuniti yang diwakili.
3–4 November – Bersedia untuk Temuduga Akhir
Kami diminta untuk check-in di Royal Chulan Damansara pada 3 November. Tetapi kerana saya tinggal sekitar KL je, saya memohon untuk check-in pada 4 November, selepas sesi penjurian.
Temuduga akhir berlangsung di Menara YTL. Temuduga dibahagikan kepada dua sesi:
5 finalis sesi pagi, 5 finalis sesi petang.
Sesi saya dijadualkan pada pukul 10.30 pagi.
Sambil menunggu giliran, semakin laju degupan jantung. Perasaan masa ni… hanya Allah yang tahu.
Saya cuma harap sesi temuduga ni cepat-cepat habis.
Panel juri kali ini terdiri daripada tokoh-tokoh besar:
- Dr. Ahmad Rafee Che Kassim (Mantan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Sektor Operasi Sekolah)
- Dr. Rusmini Ku Ahmad (Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Dasar dan kurikulum)
- Pn Kamariah Mohd Noor (Wakil Kanan Yayasan Hasanah)
- Pn Nelly Nizal Mohd Nadzri (Pengurus Besar (Education) Yayasan PETRONAS
- Dato’ Kathleen Chew (Program Director YTL Foundation)
- Samuel Isaiah (Executive Director Malaysia Teacher Prize)
Sesi temuduga tak seperti yang dijangka. Sangat santai. Panel juri pun mesra dan suasana pun tenang je, tak buatkan kami bertambah stress. Tetapi anxiety saya tetap ada. Bila saya gugup, saya mula la nak bercakap non-stop dan memang tu la yang terjadi.😅
Soalan pertama oleh Samuel:
“Ceritakan secara ringkas tentang cikgu.”
…tetapi saya terus bercerita panjang lebar tanpa henti.
Soalan-soalan lain menyusul:
- Bagaimana memastikan projek saya sustainable walaupun tanpa saya? Nasib baik la En Firdauz dah pernah tanya saya tentang soalan ni. Time tu saya minta tolong dia untuk guide saya beberapa hari sebelum sesi temuduga. Macam training untuk temuduga la jugak. Dia tanya, saya jawab. Alhamdulillah membantu. Ada la juga soalan yang sama. Terima kasih En Firdauz.
- Soalan seterusnya, bagaimana saya mengurus PdP walaupun terlibat banyak perkara luar?
- Impak PEKA OKU — berapa ramai yang mendapat peluang pekerjaan dan pendidikan?
- Dan soalan akhir daripada Dato’ Kathleen:
“Jika diberi peluang untuk menambah baik dasar pendidikan, apa yang cikgu ingin perbaiki?”
Soalan terakhir yang membuatkan mata saya bergenang.
Saya cerita tentang nasib MBPK yang sukar diterima ke institusi tertentu kerana syarat-syarat yang tidak mesra inklusif. Ada institusi yang meletakkan syarat dengan pengecualian OKU untuk memohon.
Walau bagaimanapun, Dr. Rusmini jelaskan bahawa syarat tu bukan dasar Kementerian Pengajian Tinggi, tetapi keputusan institusi tertentu dan ia sebenarnya bercanggah dengan dasar TVET.
Maka tamat lah sesi temuduga saya pada hari tu...
Dan untuk pertama kali, saya rasa benar-benar puas.
Masa tu saya fikir kalau tak terpilih Top 5 sekalipun, saya dah ok.
Sebab saya dah sampaikan suara murid-murid saya.
Suara yang sering terpinggir.
Suara yang perlu didengarkan.
5 November – Sesi Penggambaran
Esoknya, kami kembali berkumpul di Royal Chulan Damansara untuk sesi penggambaran. Setelah berminggu-minggu penuh debaran dan persediaan, akhirnya dah menarik nafas kejap.
Walaupun hakikatnya masih perlu kerja keras untuk jayakan “Best Classroom” di Sidang Kemuncak nanti, hati saya rasa sikit lapang.
6 & 7 Oktober – Bengkel Ucapan, Identity, Improve & Scale, dan Community Mobilisation
Pagi 6 Oktober, kami semua berkumpul untuk menambah baik teks ucapan pemenang. Sesi yang dikendalikan oleh Samuel Isaiah, Top 10 Global Teacher Prize, merupakan pengalaman yang sangat membuka mata. Beliau membimbing kami dengan begitu teliti, membantu kami mencari suara sebenar dalam ucapan kami. Ketika mendengar ucapan rakan-rakan finalis, saya rasa diri ni kerdil sangat… tetapi dalam masa yang sama sangat beruntung dapat berada dalam kelompok ini.
Di hati saya terdetik:
“Pastinya ramai lagi guru luar biasa di luar sana yang lebih hebat, lebih banyak berkorban, lebih jauh usaha mereka daripada kami yang terpilih ini.”
Kami semua cuma mewakili ribuan guru yang setiap hari bekerja dalam senyap tanpa pujian.
Pada 7 Oktober, kami mengikuti Bengkel Identity, Improve and Scale Innovations bersama En. Yu Shen. Modul ini benar-benar membantu saya melihat semula projek-projek yang saya jalankan, bukan hanya dari segi keberkesanan tetapi dari sudut bagaimana untuk diperluaskan, diperkemaskan, dan dipertingkatkan dengan strategi yang lebih profesional.
Petangnya pula, kami mengikuti Bengkel Community Mobilisation. Sesi yang mengajar bagaimana untuk menyediakan proposal projek, mencari peluang geran, serta melakukan pitching dengan lebih meyakinkan. Antara bahagian paling saya ingat ialah sesi yang dikendalikan oleh Cikgu Anuthra, pemenang MTP 2022. Cara beliau bercakap, menyusun isi, dan menghuraikan konsep begitu jelas dan tersusun sehingga kami semua terpaku mendengar.
Saya belajar banyak… sangat banyak.
Di sini saya kenal ramai figura pendidik hebat di kalangan finalis.
• Cikgu Rosmawati, walaupun berjawatan guru besar tapi sangat humble. Lembut suara dan tutur kata. Patut la cikgu-cikgu sayang. Seronok dengar ceritanya tentang projek-projek di sekolah, rumah cendawan, kebun sayur dan bermacam-macam lagi.
• Cikgu Viknesvari, seorang guru pendidikan khas. Misi kami sama. Kami mendidik dan berjuang untuk memastikan MBPK kami dapat survive dan bekerja untuk menyara diri. Hanya kemahiran dan mungkin platform yang membezakan.
• Cikgu Dhiya, seorang guru pemulihan khas. Kagum dengan kerja buat beliau bersama murid-murid. Pelbagai projek dan modul literasi termasuk komik yang dihasilkan. Kami sama-sama terjun dalam bidang yang bukan opsyen kami dan kami berbangga dengan bidang kami sekarang.
• Cikgu Suffi, tak perlu diceritakan lagi sebab ramai yang kenal. Sebut saja Akademi Youtuber Malaysia, beliau lah sosok di sebaliknya. Pengasas AYU yang melatih ramai guru menghasilkan video pendidikan. Saya juga pernah bersama AYU suatu ketika dulu. Tapi terkandas dek kesibukan yang lain.
• Cikgu Azri, guru muzik. Sebelum ni saya tak begitu mengenali beliau. Tapi bila mendengar cerita beliau bersama band sekolah beliau yang dah meraih banyak kejayaan di luar negara, saya kagum. Lebih kagum dengan aplikasi ciptaan beliau.
Setiap finalis ada cerita dan sumbangab hebat mereka yang pastinya memberi inspirasi kepada diri ini. Maaf, tak dapat mention semuanya. Bila memdengar cerita mereka, diri ni rasa kecik sangat.
Tertanya-tanya jugak:
“Ya Allah… betul ke aku patut berada di sini?”
Pada petang tu, kami semua mula membuat persiapan untuk raptai Sidang Kemuncak. Suasana mula terasa lain, debaran dah semakin kuat, fikiran mula memikirkan segala kemungkinan, dan saya hanya mampu berdoa agar semuanya dipermudahkan.
Perjalanan ini telah membawa saya begitu jauh… dan saya tahu masih ada bab penting yang bakal tertulis selepas ini.
Sambungan: Perjalanan Malaysia Teacher Prize (Final Part): Detik Kemenangan
















0 Comments