Mengapa Kita Tidak Selalu Membuat Keputusan Secara Rasional?

Mengapa Kita Tidak Selalu Membuat Keputusan Secara Rasional?


Saya rasa hampir semua orang pernah buat perkara macam ni.

Kita tahu kerja tu perlu disiapkan.

Deadline masih jauh lagi.

Dalam kepala dah cakap,

“Tak apa. Esok aku buat.”

Esok datang.

Masih tak buat.

Lusa pun sama.

Sampailah tiba-tiba tinggal satu malam sebelum deadline.

Masa tu entah dari mana datangnya tenaga.

Laptop dibuka.

Kopi dibuat.

Mata boleh tahan sampai pukul 2 pagi.

Dan kerja yang dua minggu kita tangguh, tiba-tiba boleh siap dalam beberapa jam.

Lepas siap, kita cakap pada diri sendiri,

“Lain kali aku buat awal.”

Tapi kita sendiri pun tahu…

kemungkinan besar perkara yang sama akan berulang lagi. 😅

Saya pun macam tu.

Bukan tak tahu buat kerja awal itu lebih baik.

Tahu.

Bukan tak sedar menangguhkan kerja akan buat kita stres kemudian.

Sedari sangat.

Tapi peliknya, tahu sesuatu dan melakukan sesuatu rupanya dua perkara yang sangat berbeza.

Dan sebenarnya, inilah antara perkara yang buat saya tertarik dengan satu bidang yang dipanggil Behavioural Science.

Kita suka fikir manusia membuat keputusan secara logik

Kalau ikut logik, sepatutnya mudah.

Kalau kita tahu sesuatu itu baik untuk diri kita, kita buat.

Kalau tahu sesuatu itu buruk, kita elakkan.

Kalau tahu kerja perlu siap minggu depan, kita mula awal.

Kalau mahu kurus, kita makan dengan lebih terkawal.

Kalau doktor kata kena minum air secukupnya, kita minumlah air.

Kalau tak perlukan sesuatu barang, kita tak beli.

Mudah, kan?

Tapi manusia bukan begitu.

Contoh paling mudah…

Pernah tak kita masuk Shopee atau TikTok Shop kononnya nak tengok satu barang saja?

Saya pernah.

Niat asal cuma nak tengok.

Tiba-tiba nampak:

70% OFF

FLASH SALE

TINGGAL 2 SAHAJA

Terus otak mula berbincang dengan diri sendiri.

“Murah ni.”

“Kalau esok harga naik?”

“Benda ni sebenarnya berguna juga…”

Padahal lima minit sebelum itu kita langsung tak rasa perlukan benda tersebut.

Lepas checkout baru terfikir,

Aku beli sebab perlu… atau sebab rasa rugi kalau tak beli?

Menarik, kan?

Barang itu tak berubah.

Keperluan kita pun sebenarnya tak berubah.

Tapi cara pilihan itu dipersembahkan boleh mengubah keputusan kita.

Diet pun sama

Kadang-kadang pagi-pagi kita cukup bersemangat.

“Hari ni aku nak makan sihat.”

Sarapan telur.

Tengah hari makan terkawal.

Minum air kosong.

Rasa macam hebat sangat dah hari tu.

Kemudian petang, ada orang letak kek atas meja.

Atau kita lalu depan kedai ayam goreng.

Atau kawan ajak,

“Jom makan. Sekali-sekala.”

Terus azam yang sangat kuat pada pukul 8 pagi tadi mula goyah.

Bukan sebab kita tiba-tiba tak tahu kek ada gula.

Kita tahu.

Bukan sebab kita tak tahu makanan berminyak mungkin tak selari dengan matlamat kita.

Kita tahu juga.

Tetapi pada saat makanan itu berada depan mata, sesuatu yang segera selalunya terasa jauh lebih kuat daripada manfaat yang hanya akan kita dapat beberapa minggu atau beberapa bulan kemudian.

Nikmat makan sekarang jelas.

Berat turun dua bulan lagi?

Masih jauh.

Dan otak manusia memang sangat mudah tertarik kepada apa yang memberi ganjaran sekarang.

“Saya tahu kena minum air. Tapi selalu terlupa.”

Yang ini pun saya rasa ramai boleh relate.

Kita beli botol air.

Letak atas meja.

Kadang-kadang siap beli botol yang ada tanda pukul 8 pagi, 10 pagi, 12 tengah hari.

Semangat.

Tetapi bila dah mula bekerja, buka WhatsApp, masuk mesyuarat, mengajar, mengejar kerja…

tahu-tahu dah pukul 4 petang.

Air masih penuh separuh.

Kenapa?

Adakah kita tak tahu minum air penting?

Bukan.

Kita cuma tak teringat pada waktu yang kita perlu bertindak.

Ini satu lagi perkara yang menarik tentang tingkah laku manusia.

Kadang-kadang masalah kita bukan pada pengetahuan.

Kita sudah tahu.

Masalahnya ialah bagaimana hendak menukar apa yang kita tahu kepada apa yang kita buat.

Ada jurang di situ.

Dan jurang itulah yang sangat menarik untuk difahami.

Jadi, apa sebenarnya Behavioural Science?

Secara mudah, saya melihat Behavioural Science sebagai bidang yang cuba memahami satu soalan besar:

Kenapa manusia melakukan apa yang mereka lakukan?

Bukan sekadar apa yang manusia patut lakukan.

Tetapi apa yang manusia sebenarnya lakukan dalam dunia sebenar.

Kenapa kita menangguhkan kerja walaupun tahu akibatnya?

Kenapa kita mudah terpengaruh dengan “sale”?

Kenapa kita berniat bersenam tetapi akhirnya duduk di sofa?

Kenapa kadang-kadang kita tahu sesuatu itu baik tetapi masih sukar melakukannya?

Behavioural science cuba memahami perkara-perkara seperti bagaimana emosi, tabiat, persekitaran, tekanan masa, cara pilihan dipersembahkan dan tingkah laku orang di sekeliling boleh mempengaruhi keputusan kita.

Bila difikirkan semula, banyak keputusan yang kita anggap sangat “peribadi” sebenarnya berlaku dalam satu konteks.

Kita tidak membuat keputusan dalam ruang kosong.

Ada benda di sekeliling kita yang sedang mempengaruhi kita.

Kadang-kadang kita sedar.

Selalunya kita tak sedar pun.

Kemudian datang pula Behavioural Insight

Mula-mula saya pun rasa dua istilah ini macam sama.

Behavioural Science.

Behavioural Insight.

Apa bezanya?

Cara paling mudah saya faham begini.

Behavioural Science membantu kita memahami tingkah laku manusia.

Manakala Behavioural Insight menggunakan pemahaman itu untuk membantu kita mereka bentuk sesuatu dengan lebih baik.

Contohnya, kalau kita tahu manusia mudah terlupa, mungkin sekadar memberitahu,

“Jangan lupa minum air,”

tidak cukup.

Kita boleh fikir bagaimana hendak mewujudkan peringatan pada waktu yang tepat.

Kalau kita tahu manusia cenderung memilih perkara yang paling mudah, kita boleh fikir bagaimana hendak menjadikan pilihan yang lebih baik itu lebih mudah dilakukan.

Kalau kita tahu perkataan seperti “tinggal dua sahaja” boleh membuatkan kita rasa terdesak untuk membeli, itu juga memberi gambaran tentang bagaimana cara sesuatu maklumat disampaikan boleh mempengaruhi keputusan.

Jadi, daripada sekadar berkata,

“Orang ni tak berdisiplin.”

“Dia malas.”

“Dia tak kisah.”

kita mula bertanya soalan lain.

Apa yang sebenarnya berlaku di sebalik tingkah laku itu?

Kadang-kadang kita terlalu cepat menyalahkan manusia

Ini mungkin bahagian yang paling menarik bagi saya.

Bila seseorang tak buat sesuatu yang kita harapkan, sangat mudah untuk kita meletakkan label.

Malas.

Tak bermotivasi.

Tak bertanggungjawab.

Tak ada disiplin.

Tetapi behavioural science membuatkan saya mula melihat tingkah laku dengan cara yang sedikit berbeza.

Mungkin orang itu memang tidak mahu.

Itu boleh berlaku.

Tetapi mungkin juga…

arahan terlalu susah difahami.

Langkah terlalu banyak.

Pilihan terlalu banyak.

Ganjarannya terlalu jauh.

Tindakan yang kita mahu sebenarnya terlalu susah dilakukan.

Atau mungkin persekitaran di sekelilingnya sedang mendorong dia melakukan perkara yang bertentangan.

Bila kita mula melihat dari sudut ini, soalan kita berubah.

Daripada,

“Kenapa dia tak buat?”

kepada,

“Apa yang membuatkan tingkah laku ini berlaku?”

Bagi saya, beza dua soalan ini besar.

Soalan pertama mudah membawa kita kepada penilaian terhadap orang.

Soalan kedua membawa kita kepada rasa ingin tahu.

Dan bila kita mula ingin tahu, kita mula memahami.

Rupanya manusia memang tidak sentiasa rasional

Mungkin kita suka fikir diri kita sangat logik.

Kita fikir kita membeli berdasarkan keperluan.

Kita fikir kita makan berdasarkan matlamat.

Kita fikir kita bekerja berdasarkan perancangan.

Tetapi realitinya, keputusan kita boleh berubah hanya kerana kita penat, lapar, tergesa-gesa, terpengaruh dengan orang lain atau kerana sesuatu pilihan dibuat nampak lebih menarik.

Dan sebenarnya, itu bukan pelik.

Itulah manusia.

Behavioural science bukan tentang mengatakan manusia bodoh atau tidak pandai membuat keputusan.

Sebaliknya, bidang ini cuba memahami bahawa otak manusia mempunyai cara tertentu untuk membuat keputusan — kadang-kadang cepat, kadang-kadang berdasarkan kebiasaan, dan kadang-kadang dipengaruhi oleh perkara yang kita sendiri tak perasan.

Bila kita faham perkara ini, saya rasa kita menjadi sedikit lebih berhati-hati sebelum menilai tingkah laku orang lain.

Malah mungkin juga lebih memahami diri sendiri.

Lain kali bila kita tangguh kerja, gagal ikut diet, terlupa minum air atau terbeli barang kerana “SALE”…

mungkin kita boleh berhenti sekejap dan fikir,

“Kenapa aku buat macam ni, ya?”

Bukan untuk mencari alasan.

Tetapi untuk memahami.

Sebab kadang-kadang perubahan tingkah laku tidak bermula dengan arahan.

Ia bermula dengan satu perkara yang lebih asas:

memahami manusia terlebih dahulu.

Dan dari situlah behavioural insight menjadi semakin menarik.

Dalam artikel seterusnya, saya nak kita pergi satu langkah lagi:

Kalau manusia tidak sentiasa membuat keputusan secara rasional, bolehkah cara sesuatu pilihan dan persekitaran direka membantu kita membuat keputusan yang lebih baik?


Post a Comment

0 Comments