Ramai pendidik hari ini semakin kreatif membina pelbagai aplikasi, inovasi digital dan BBM digital untuk PdP, tambah lagi dengan adanya teknologi AI sekarang. Itu satu perkembangan yang sangat baik. Namun, dalam keterujaan membina bahan yang canggih dan kelihatan hebat, ada satu perkara penting yang kadang-kadang kita terlepas pandang: tingkah laku, keperluan dan persekitaran sebenar murid.
Inilah antara perkara penting yang saya belajar melalui Masterclass Behavioural Insight di Copenhagen, Denmark pada Mac yang lalu. Sebelum kita membina sesuatu intervensi, bahan digital atau inovasi pendidikan, kita perlu faham dahulu bagaimana pengguna sebenar berfikir, merasa, bertindak dan membuat pilihan dalam persekitaran mereka. Dalam konteks PdP, pengguna utama kita ialah murid. Jadi, kita perlu bertanya: Siapa murid kita? Apa cabaran mereka? Apa yang membuatkan mereka fokus atau hilang fokus? Apa yang menyebabkan mereka berminat, keliru, tertekan, pasif atau enggan mencuba?
BBM digital yang cantik, interaktif dan penuh teknologi tidak semestinya berkesan jika ia tidak dibina berdasarkan tingkah laku murid. Begitu juga inovasi yang menggunakan platform canggih, alatan mahal atau sistem yang memerlukan kos tinggi. Ia mungkin nampak hebat semasa dibentangkan, tetapi belum tentu sesuai digunakan oleh semua murid dalam situasi sebenar.
Jika inovasi itu memerlukan peranti tertentu, capaian internet yang kuat, ruang khas, kos penyelenggaraan tinggi atau kemahiran teknikal yang terlalu kompleks, kita perlu bertanya semula: Adakah inovasi ini benar-benar inklusif? Adakah semua murid boleh mengaksesnya? Adakah guru mampu menggunakannya secara konsisten? Adakah ia menyelesaikan masalah pembelajaran atau sekadar menunjukkan kecanggihan teknologi?
Kadang-kadang kita terlalu mengejar elemen “fancy” sampai terlupa prinsip asas reka bentuk pembelajaran seperti UDL (Universal Design for Learning). Bahan nampak moden, tetapi tidak semestinya mesra murid. Ada animasi berlebihan, warna terlalu padat, arahan tidak jelas, pilihan respons terlalu terhad, atau aktiviti yang tidak memberi ruang kepada kepelbagaian cara murid belajar dan menunjukkan kefahaman.
Prinsip Behavioural Insights Team melalui kerangka EAST menekankan bahawa sesuatu intervensi lebih berkesan apabila ia dibuat supaya mudah, menarik, bersifat sosial dan tepat pada waktunya; maka, apabila inovasi terlalu sukar digunakan, pengguna lebih cenderung untuk mengelak atau tidak meneruskan penggunaannya. Perkara ini turut selari dengan Technology Acceptance Model (TAM) yang menegaskan bahawa persepsi terhadap kemudahan penggunaan dan kegunaan sesuatu teknologi mempengaruhi niat serta penerimaan pengguna.
Justeru, inovasi sebenar bukan sekadar tentang aplikasi yang kelihatan canggih. Inovasi yang bermakna ialah apabila bahan itu dapat mengurangkan halangan pembelajaran, memudahkan akses, meningkatkan keterlibatan dan membantu murid mencapai objektif pembelajaran dengan lebih baik.
Sebab itu, sebelum membina BBM digital atau inovasi PdP, kita perlu bermula dengan memahami pengguna. Kaji dahulu tingkah laku murid. Perhatikan persekitaran mereka. Fahami rutin, cabaran, motivasi, emosi, kemudahan yang ada dan halangan yang mereka hadapi. Dari situ barulah teknologi yang kita bina benar-benar menjadi intervensi, bukan sekadar produk digital yang cantik dipandang tetapi kurang memberi impak.
Pada akhirnya, BBM digital yang baik bukan yang paling canggih atau paling mahal, tetapi yang paling sesuai, mudah digunakan, mudah dicapai dan benar-benar menjawab keperluan murid.
#BehaviouralInsight
#InovasiPendidikan
#InovasiDigital
#UDL
#MesraMurid

0 Comments