PART 2: Perjalanan Panjang ke San Antonio — Dari Impian ke Kenyataan

 

🌎 Bahagian 2: Perjalanan Panjang ke San Antonio — Dari Impian ke Kenyataan



26 Jun 2025.

Tarikh yang saya tandakan besar-besar dalam kalendar sejak mula menerima emel daripada Google for Education dulu. Hari inilah segalanya bermula — perjalanan saya ke San Antonio, Texas, untuk menghadiri persidangan pendidikan terbesar dunia, ISTELive25.


Yang membuatkan perjalanan ini lebih bermakna — saya tidak berseorangan. Saya ditemani suami tercinta, teman setia yang sentiasa ada dalam setiap langkah penting hidup saya.

Sejujurnya, kalau beliau tak dapat ikut, mungkin saya takkan berani pergi sejauh ini. Ini kali pertama saya menjejak kaki ke Amerika, dan perjalanan sejauh 30 jam bukan sesuatu yang kecil. Tambahan pula, macam-macam cerita yang saya dengar tentang cabaran Muslim ke sana. Jadi bila suami kata, “Jangan risau, saya ikut,” terus lega hati saya.




Malam itu, kami berdua melangkah masuk ke Lapangan Terbang Kuala Lumpur dengan beg besar dan hati penuh harapan. Penerbangan kami dijadualkan berlepas pada jam 10.50 malam. Dalam pesawat, antara rasa teruja dan sedikit cemas, saya sempat berbisik,

“Tak sangka kan, dari kelas pendidikan khas… sampai ke San Antonio.”

Suami senyum dan jawab, “Semua bermula dengan satu niat baik — nak bantu anak-anak istimewa.”


Terima kasih kerana sentiasa ada di sisi isterimu

Kami memilih penerbangan Japan Airlines. So, makanan pun makanan jepun. Berbaloi guna JAL ni. Layanan best, makanan best dan ruang pun lebih luas. Harga berpatutan.

13 jam perjalanan bermula



✈️ Dari Malaysia ke Jepun — persinggahan pertama.

Perjalanan mengambil masa lebih kurang 13 jam sebelum kami tiba di Lapangan Terbang Narita sekitar jam 7 pagi waktu Jepun. Disebabkan ada layover selama 10 jam, kami ambil peluang untuk keluar sekejap mencuci mata dan regangkan kaki.

Destinasi kami — Omotesando Street, terkenal dengan deretan butik dan Unagi bakar Jepun yang menjadi tumpuan pelancong. Kami sempat juga merasa hidangan tu — walaupun pelik pada awalnya, rupanya sedap juga!

Pemandangan deretan kedai di Omotesando Street

Salah satu kedai Unagi Bakar yang popular di Omotesando Street

Merasa jugak Unagi Bakar kat sini. Harga agak mahal tapi berbaloi dengan rasanya. Suami tak berapa gemar unagi ni.

Sempat juga jalan-jalan di Narita Temple Park berdekatan

Cuaca di Jepun ketika bulan Jun - Julai memang sangat panas. 

Bagi chance photoshoot sweet2 jap

Sebelum kembali ke lapangan terbang, kami singgah ke AEON Mall , GU dan Uniqlo Narita untuk sedikit “cuci mata” dan beli cenderamata. Jepun memang tak pernah mengecewakan — bersih, teratur, dan tenang. Tak ada pulak gambar nak dikongsi.


Menyesal sampai balik Malaysia sebab tak beli blazer ni 😅

🛫 Seterusnya: Narita ke Los Angeles (LA)

Dari Jepun, kami sambung penerbangan 7 jam ke Los Angeles. Dalam hati, saya sebenarnya teruja — sebab selama ni hanya tengok LA dalam filem dan vlog orang lain.

Sampai saja di Los Angeles International Airport (LAX), kami ada layover selama 5 jam sebelum penerbangan terakhir ke San Antonio. Pada mulanya, kami bercadang nak keluar sekejap menjelajah sekitar LA — mungkin ke pantai atau Hollywood Boulevard. Tapi bila disemak semula, jarak dari airport ke tempat tarikan utama ambil masa hampir 40 minit perjalanan sehala, belum campur masa balik dan pemeriksaan keselamatan.


Tambahan pula, kos pengangkutan di sana agak mahal, jadi selepas berbincang, kami putuskan untuk batalkan niat keluar dari airport.

Kesian juga saya tengok suami — sebab impiannya memang nak menjejak kaki ke Los Angeles. Tapi saya pujuk, “Tak apa, mungkin ini bukan masanya lagi. InsyaAllah, nanti kita datang semula, dengan masa yang lebih panjang.”

Dia senyum, dan kami pun habiskan masa berjalan-jalan di dalam terminal, menikmati suasana sibuk lapangan terbang antarabangsa Amerika yang jauh berbeza daripada di Asia.

Di Airport LAX. Husband masih berduka lara sebab tak dapat jalan-jalan di LA. 

Flight kami seterusnya...


Good bye LA. Semoga bertemu semula.


🛬 Tiba di San Antonio — akhirnya!

Tepat jam 10 malam, 28 Jun 2025, kami akhirnya tiba di bumi Texas. Walaupun badan terasa lesu dan mata dah separuh terlelap, semangat saya terus menyala bila menjejak kaki keluar dari lapangan terbang. Udara San Antonio terasa berbeza — hangat, tapi menyenangkan.



Selamat Tiba di San Antonio 

Kami terus ke penginapan yang disediakan oleh pihak Google, Drury Riverwalk Hotel. Dari luar, hotelnya klasik dengan rekaan Inggeris lama, dihiasi lampu-lampu kuning yang memberi suasana tenang. Tapi bila masuk ke bilik… saya terus terpaku.

Biliknya besar, luas, dan lengkap macam apartment! Ada ruang tamu, meja makan, dan dapur kecil. Terus rasa bersyukur — inilah rezeki yang Allah aturkan selepas perjalanan yang panjang.


Sempat minum-minum di balkoni bilik sebelum tidur. View sekitar bandar San Antonio. Yang bestnya, turun je terus sampai tempat tarikan utama di sini iaitu Riverwalk.

Malam itu saya tertidur dengan senyuman. Letih, tapi hati tenang. Semua urusan — dari visa, kelulusan rasmi, hingga penerbangan — akhirnya selesai.

Dan esoknya, satu bab baru bakal bermula:

bab di mana saya melangkah ke dunia ISTELive25, bersama ribuan pendidik dari seluruh dunia.


Sambungan PART 3



Post a Comment

0 Comments