Dari Sebuah Kisah Inspirasi 20 Tahun Lalu ke Bumi Denmark: Membawa Pulang Harapan dari Specialisterne


Angin lewat musim sejuk di Denmark pada 3 Mac 2026 terasa lain macam. Sambil berdiri di depan bangunan Specialisterne, hati aku berbisik, "Ya Allah, and now, here we are." 😭


Langkah kaki ke bangunan ni sebenarnya bukan lah sekadar satu lawatan rasmi, tapi kemuncak kepada angan-angan kami yang bermula di ruang tamu rumah, dua dekad yang lalu.


Bermula Dari Kisah Seorang Bapa: Thorkil Sonne


Nak cerita sikit, impian nak ke sini ni sebenarnya bermula 20 tahun yang lalu bila suami aku berkongsi satu cerita yang sangat menjentik hati. Cerita tentang seorang bapa di Denmark bernama Thorkil Sonne. Pada tahun 2004, anak bongsu Thorkil ni iaitu Lars, disahkan menghidap autisme.


Ketika masa tu dunia memandang autisme ni sebagai satu 'kecacatan' yang perlu diperbaiki, Thorkil ni melihat sebaliknya. Beliau sedar yang anaknya mempunyai fokus yang tajam, teliti dan memori yang luar biasa, dan beliau nampak ni sebagai kelebihan semula jadi dalam bidang programming dan IT. 


Lepas gadai rumah sendiri untuk dijadikan modal, Thorkil tubuhkan Specialisterne (yang bermaksud "The Specialists" dalam bahasa Denmark).

Misi Thorkil ni bukan sekadar nak buat syarikat khas untuk anaknya, tapi beliau mahu mengubah landskap pasaran buruh dunia supaya dapat melihat neurodivergent ni sebagai satu kelebihan kompetitif, bukan lah suatu bebanan. 


Masa kami duduk bersembang tentang kisah ni 20 tahun dulu, kami kagum dengan usaha Thorkil ni dan betapa dia percaya dengan kelebihan anaknya. Tapi jujurnya, tak pernah terlintas langsung di fikiran bahawa satu hari nanti, aku sendiri akan berpeluang menjejakkan kaki ke ibu pejabat mereka!


Cerita di Bilik Temuduga Malaysia Teacher Prize

Kenangan ni bawa aku balik ke detik temuduga untuk anugerah Malaysia Teacher Prize. Di depan barisan penemuduga, aku ditanya tentang impian dan hala tuju aku.


So, dengan semangat, aku ceritakan impian aku untuk menyokong Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) dan komuniti OKU di Malaysia dalam mendapatkan peluang kerjaya yang bermaruah. Aku petik nama Specialisterne sebagai model impian. "Alangkah bagusnya kalau mereka bersetuju buka cawangan di Malaysia, atau kita sendiri yang bentukkan organisasi macam mereka ni," luah aku masa tu.


Kenyataan tu menarik perhatian Pn Nelly, CEO Yayasan PETRONAS yang juga merupakan salah seorang panel penemuduga. Beliau bukan saja berminat, malah berikan aku galakan yang kuat untuk aku menggali lebih banyak maklumat tentang Specialisterne. Galakan dari Pn Nelly lah yang membakar semangat aku untuk memastikan impian ni tak mati di meja temuduga.


Melihat Sendiri Ekosistem Specialisterne Academy


Berada di sini dan melihat sendiri ekosistem mereka beroperasi adalah satu pengalaman yang berharga. Lepas 22 tahun beroperasi, sekarang mereka dah ada 26 cawangan di pelbagai negara dan mempunyai yayasan (Specialisterne Foundation) mereka sendiri!







Apa yang menjadikan mereka perintis dunia? Aku belajar banyak perkara, terutamanya tentang program Specialisterne Academy:


Latihan Praktikal, Bukan Dari Sifar: Rupa-rupanya, akademi ni menyediakan kursus berorientasikan pekerjaan selama 12 minggu (3 bulan). Ia dikhususkan untuk individu autisme atau neurodivergent (tak kira usia) yang dah mempunyai asas IT, STEM, atau teknologi. Akademi ni berfungsi sebagai jambatan yang menghubungkan teori yang mereka belajar dengan realiti dan tekanan dunia korporat yang sebenar.


Persijilan & Job-Matching: Selepas 12 minggu, pelatih akan menerima diploma. Pihak Specialisterne kemudiannya akan menyalurkan bakat mereka (job-matching) ke syarikat-syarikat gergasi Eropah seperti Novo Nordisk, Danske Bank, dan CPH Airport! Mengikut rekod mereka, 75% daripada graduan akademi ini berjaya mendapat kerja dalam masa 3 bulan selepas tamat latihan. Malah, ada yang sangat hebat sampaikan diserap terus menjadi konsultan IT di akademi itu sendiri!


Sokongan Kerajaan: Ini bahagian yang paling buat aku kagum. Ekosistem di sini sangat menyokong golongan ni sehinggakan gaji pekerja neurodivergent ni dibayar dan disokong oleh pihak kerajaan Denmark.


70% Tenaga Kerja: Mereka buktikan apa yang mereka perjuangkan. Di Specialisterne sendiri, 70% daripada tenaga kerja mereka adalah golongan neurodivergent.


Merapatkan Jurang Impian untuk PEKA OKU


Tujuan utama lawatan aku ke sini adalah sebagai penanda aras (benchmarking) untuk PEKA OKU di samping bentang paper dan menghadiri short course Masterclass Diploma. Matlamat perjuangan kami sama iaitu nak melihat anak-anak istimewa ini mandiri.


Berita paling gembira yang aku bawa pulang ke Malaysia? Specialisterne dengan berbesar hati bersetuju untuk menjalinkan hubungan kerjasama dengan PEKA OKU! Mereka komited untuk memberikan sokongan penuh melalui perkongsian kepakaran, modul latihan akademi, dan strategi pembangunan kerjaya.





Di kesempatan ni, aku nak rakamkan jutaan terima kasih kepada Jakob, Head of Specialisterne Specially Planned Youth Education, kerana menerima kehadiran kami dan berkongsi tentang pendidikan belia mereka. Tak lupa juga kepada Magnus, Coordinator Specialisterne Academy Denmark, atas penerangan terperinci mengenai modul dan strategi Specialisterne yang sangat membuka mata.





Satu langkah kecil dah bermula. Dari sembang di ruang tamu, ke bilik temuduga, dan kini di Denmark. Doakan agar ikatan kerjasama antara Specialisterne dan PEKA OKU ini menjadi titik tolak kepada revolusi kerjaya anak-anak istimewa kita di Malaysia. Kerana kelainan mereka adalah kepakaran mereka. The Autism Advantage is real!






Post a Comment

0 Comments